Pulau itu bukan hak Singapura - Sultan Johor
“Saya akan berikhtiar mencari jalan mendapatkan semula hak kedaulatan Batu Putih yang kini dimiliki Singapura supaya kembali kepada kerajaan Malaysia. Suka saya ingatkan bahawa saya tidak lupa pada Batu Putih. Pulau itu bukan hak Singapura, tetapi hak Johor. Sampai bila pun saya akan cari ikhtiar dapatkan semula pulau milik Johor itu,” titah Sultan Johor, Sultan Iskandar. Titah itu ditegaskan oleh Sultan Iskandar semasa merasmikan pembukaan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari Khamis. Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda memutuskan hak kedaulatan Batu Putih diberikan kepada Singapura, manakala Batuan Tengah kepada Malaysia sementara Tubir Selatan diberikan kepada negara yang berada di perairannya. Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman ketika diminta mengulas titah Sultan Johor itu berkata, pihaknya akan mengambil kira perkara yang dibangkitkan oleh baginda tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. - 19/6/2008
No comments:
Post a Comment